PENGENALAN
1.1 Pendahuluan
Kerjaya
sebagai seorang guru kini semakin mencabar. Perkembangan dunia yang semakin
mencabar juga telah memberi implikasi terhadap peranan seorang guru. Pelbagai
cabaran dan halangan yang dilalui oleh guru akan menambah pengalaman dan
mematangkan mereka. Pengendalikan proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas menuntut seorang guru yang bukan
sahaja berilmu pengetahuan tetapi juga pengalaman. Pelbagai masalah yang
dihadapi dan penemuan kepada penyelesaiannya telah membantu kepada keberkesanan
proses pengajaran dan pembelajaran. Proses
penyelesaian masalah merupakan satu penemuan yang akan menambah lagi pengalaman
seseorang guru. Tindakan kepada
penyelesaian masalah bagi seorang guru boleh digunakan oleh guru tersebut
apabila menghadapi masalah yang sama dalam situasi yang berbeza.
Walaubagaimana
pun kadang-kadang kaedah yang sama tidak dapat membantu masalah yang sama
kerana murid yang berbeza. Justeru guru
perlu mencuba teknik dan cara penyelesaian masalah yang berbeza. Setiap tindakan yang dilakukan oleh guru
terhadap usaha-usaha menyelesaikan masalah ketika proses pengajaran dan
pembelajaran adalah konsep yang ingin dibincangkan di dalam kajian tindakan.
1.2 Matlamat
Guru-guru yang menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran
di dalam kelas sering berhadapan dengan pelbagai situasi yang diwujudkan oleh murid
mereka. Guru yang baik mampu menangani setiap masalah dengan berkesan. Ilmu pendidikan menjadi panduan kepada guru
untuk menyusun langkah menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Namun kebanyakan guru tidak mendokumentasikan
langkah dan strategi penyelesaian masalah dalam bentuk laporan ilmiah. Langkah
penyelesaian kepada setiap masalah boleh didokumenkan dalam bentuk kajian
tindakan.
Guru boleh menjalankan kajian tindakan bertujuan untuk
meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran, pengurusan bilik
darjah dan pengurusan organisasi pendidikan. Kajian tindakan
yang dilakukan oleh guru adalah berasaskan kepada kelemahan murid yang ditemui semasa
proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.
Guru perlu mencari kaedah dan melaksanakannya untuk menyelesaikan
masalah tersebut. Kaedah tersebut dilaksanakan bergantung kepada keserasian dan
kesesuaian masalah tersebut. Justeru sangatlah jelas bahawa kajian tindakan
bermatlamat untuk menyelesaikan masalah mengggunakan kaedah dan strategi terhadap
masalah yang dihadapi oleh seseorang guru. Secara tidak langsung, amalan kajian
tindakan mampu meningkatkan kualiti pengajaran dan prestasi murid.
Tujuan utama
kajian tindakan ialah untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu amalan pengajaran
dan pembelajaran. Seperti penjelasan yang telah dihuraikan, kajian tindakan
yang dilakukan oleh guru mampu mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh murid
mereka. Guru akan menggunakan kaedah dan teknik yang difikirkan sesuai
sehinggalah dapat menyelesaikan masalah berkenaan. Selagi mana masalah tidak
selesai, guru akan mencuba menggunakan kaedah dan teknik yang lain
berulangkali. Justeru guru akan membuat refleksi semula dan memikirkan kaedah-kaedah alternatif sehingga mampu
menyelesaikan masalah.
Refleksi yang dilakukan oleh guru khususnya tentang kaedah dan teknik
mengajar ini mampu memperlihatkan kelemahan-kelemahan yang pernah dilakukan
oleh guru itu sendiri. Kelemahan guru juga berkemungkinan menjadi punca kepada
kelemahan murid. Sekiranya ini berlaku tanpa ada tindakan, ia hanya akan
menjadikan masalah yang semakin rumit. Guru yang menganggap dirinya sempurna
tidak akan membuat refleksi atau mengakui kelemahan diri. Guru ini juga tidak
bersedia untuk menerima kritikan dan komen-komen walaupun semuanya adalah
bertujuan untuk penambahbaikkan.
Proses refleksi bukan sahaja berlaku apabila guru melihat dan menilai
dirinya sendiri tetap juga tentang pandangan rakan-rakan guru terhadap dirinya.
Proses refleksi juga akan menimbulkan kesan terhadap penambahbaikan kaedah dan
teknik yang digunakan oleh guru. Oleh itu, kajian tindakan adalah merupakan satu
penyelidikan yang penting bagi seorang guru bertujuan mengkaji kelemahan diri
seterusnya mencari langkah penyelesaian kepada permasalahan tersebut. Proses
penambahbaikan terhadap pengajaran guru akan berlaku secara berterusan. Secara
tidak langsung, prestasi dan mutu pengajaran guru akan meningkat.
Guru juga akan menemui kelemahan dan masalah di dalam kelasnya sendiri.
Justeru guru lebih memahami masalah yang dihadapinya. Guru juga akan mengambil
langkah menyelesaikan masalah tersebut. Segala langkah yang diambil oleh guru
tersebut dan mampu menyelesaikan boleh dijadikan sebagai kajian tindakan. Oleh
kerana itu, guru tidak perlu membuat kajian di luar lingkungan kelasnya.
Sebagai
rumusan, kajian tindakan adalah bermatlamat sebagai satu pendekatan untuk memberi
pemahaman dan pengetahuan tentang amalan yang pernah dilakukan oleh guru untuk
menambahbaik amalan pengajaran yang dilakukan oleh mereka sebelum ini. Ini
adalah kerana kajian tindakan akan memberi pengetahuan tentang kaedah penyelesaian
masalah yang dihadapi oleh guru di dalam bilik darjah atau persekitaran
pembelajaran di sekolah.
Kajian tindakan juga akan membantu proses pengajaran dan pembelajaran menjadi bertambah baik. Kaedah pengajaran ini termasuklah bentuk latihan, teknik menyampaikan pelajaran atau jenis-jenis soalan yang digunakan oleh guru. Justeru itu, guru berpeluang untuk mengubahsuai kaedah pengajarannya melalui dapatan dalam kajian tindakan yang mereka laksanakan.
Kajian
tindakan juga di jangka mampu membantu guru membentuk teori baru dalam
pengajaran. Guru berpeluang mengunakan kaedahnya sendiri melalui amalan
pengajarannya sendiri semasa mengajar. Selain daripada itu, guru berpeluang
membuat kajiannya sendiri. Guru akan menjadi lebih kreatif untuk menyelesaikan
masalahnya sendiri tanpa tertakluk kepada teori-teori orang lain. Secara tidak
langsung kemahiran guru akan berkembang dan mampu meningkatkan profesion guru.
1.3 Pendekatan
Kaedah yang digunakan di dalam kajian tindakan tidak sama
dengan kaedah kajian konvensional. Di dalam kajian tindakan, pengkaji lebih
tertumpu kepada dapatan tentang penyelesaian masalah yang ditemui semasa proses
pengajaran. Pengumpulan data untuk
menyokong kepada dapatan pengkaji tidaklah sebegitu rumit. Jika dibandingkan
dengan kajia konvensional, ianya lebih kompleks dan rumit. Ini disebabkan
sampel kajiannya yang tidak memerlukan bilangan yang besar dan responden kajian
berada di dalam kelas guru.
Penyataan masalah ditentukan kepada masalah yang dihadapi oleh pengkaji
semasa proses pengajaran berlaku. Oleh itu, pengkaji hanya perlu membuat refleksi
tentang pengajaran yang lepas melibatkan dirinya sendiri. Justeru di dalam
kajian tindakan, pengkaji tidak perlu membuat hipotesis atau jangkaan kepada terhadap
penyelesaian masalah. Pengalaman guru tersebut boleh digunakan sebagai
penyataan masalah.
Data juga boleh dianalisis menggunakan cara yang mudah dan ringkas. Ia
tidaklah serumit seperti keperluan di dalam kajian konvensional. Analisis boleh
dilakukan dalam bentuk seperti laporan, penjelasan dan huraian tentang
pemerhatian atau bentuk pemerarusan yang mudah. Di dalam kajian tindakan, data
perlu dianalisis terhadap perubahan tingkahlaku yang telah berlaku. Perubahan
ini dibuktikan melalui data-data yang dikutip melalui pemerhatian atau merujuk
kepada rekod-rekod bahawa telah berlaku perubahan seperti markah-markah, rekod
disiplin, kemahiran-kemahiran dan sebagainya.
Di dalam kajian tindakan, pengkaji boleh menggunakan murid itu sebagai responden kajian. Pengkaji tidak
perlu menggunakan sampel sebagai mewakili populasi. Justeru bilangan responden dalam
kajian tindkan adalah kecil. Pengkaji boleh menggunakan seorang pelajar sebagai
responden kajian. Oleh kerana biasanya kajian tindakan melibatkan sikap,
tingkah laku atau tabiat yang sukar diukur dengan nombor analisis secara
kualitatif adalah sangat sesuai.
1.4 Mengapa Guru Harus Membuat Kajian Tindakan
Secara ringkas, terdapat banyak faktor mengapa guru harus
menjalankan kajian tindakan. Antaranya ialah:
·
Guru sebagai rujukan
Guru
adalah diiktiraf sebagai seseorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan berkemahiran
tinggi. Oleh kerana itu, guru harus mempunyai pengetahuan dan kemahiran
khususnya tentang kandungan subjek dan kaedah-kaedah belajar dan mengajar. Guru
juga harus memahami dengan jelas aspek kenapa dan mengapa murid bertingkahlaku
tidak seperti yang sepatutnya ketika proses pembelajaran dilakukan di dalam
kelas. Guru bukan sahaja membentuk murid dari aspek akademik tetapi juga untuk
membentuk personaliti dan keperluan menghadapi kehidupan. Ini bermaksud guru masih dianggap sebagai rujukan utama.
Justeru, guru menjadi sumber rujukan utama di sekolah dan juga di luar
sekolah.
· Mengenalpasti
kekuatan dan kelemahan
Melalui kajian tindakan, guru akan melakukan proses membuat refleksi
terlebih dahulu. Guru dijangka mampu mengenalpasti kekuatan dan kelemahan
sesuatu kaedah atau teknik pengajaran yang telah digunakan selama ini di dalam proses
pengajaran dan pembelajaran mereka. Guru boleh mengenalpasti sama ada kaedah
yang digunakan menarik atau tidak ialah dengan melihat kepada keberkesanan
pengajarannya seperti melihat rekod-rekod
keputusan ujian yang telah dijalankan atau melihat bagaimana murid memberi
respons terhadap pengajarannya.
·
Memperbaiki
Kaedah Pengajaran
Di dalam proses menjalankan
kajian tindakan terdapat model yang menjelaskan tentang kitaran dan gelung.
Kitaran merupakan pemeringkatan dalam proses kajian tindakan. Kitaran adalah
langkah-langkah yang perlu diikuti oleh pengkaji ketika menjalankan kajian. Sekiranya
pengkaji tidak berjaya atau ingin menambahbaik lagi aspek-aspek yang tertentu
pada gelung pertama, pengkaji akan
bergerak seterusnya kepada gelung yang lain. Ini bererti proses penambahbaikan
akan sentiasa berlaku. Guru yang membuat kajian tindakan akan sentiasa
memperbaiki kaedah mengajar sehinggalah masalah yang dihadapi dapat
diselesaikan. Oleh kerana ini, proses penambahbaikan akan sentiasa berlaku dari
semasa ke semasa.
·
Kreatif
dan Kritis
Proses di dalam kajian
tindakan juga akan menjadikan guru sentiasa mencari dan mencuba pelbagai kaedah
ke arah penyelesaian masalah. Oleh itu kajian tindakan menuntut agar guru
menjadi lebih kreatif dan inovatif. Melalui kreativiti yang tinggi sahaja, guru
akan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kerjayanya sebagai seorang
guru.
·
Role-Model
Guru yang kreatif, berpengetahuan
dan berkemahiran mampu dijadikan role-model kepada pelajar-pelajarnya. Melalui
kajian tindakan, guru akan sentiasa berkembang dan melengkapkan diri dengan
pelbagai pengetahuan dan kemahiran. Guru seperti ini dijangka menjadi ikutan atau role-model kepada
muridnya.
·
Perkembangan
teknologi
Guru harus
menjalankan kajian tindakan sebagai satu tuntutan keperluan penguasaan teknologi
yang terkini yang semakin berkembang. Melalui kajian tindakan, guru akan
meningkatkan kemahiran teknologi mendahului kemahiran murid-muridnya.
·
Memberi inspirasi
Kajian tindakan juga mampu
digunakan oleh seorang guru untuk membuat explorasi tentang minat dan kemahiran
pelajar-pelajar. Aspek ini akan membantu pelajar mengenalpasti minat kerjaya
dan membentuk strategi melengkapkan diri ke arah mencapai kerjaya.
·
Membina kemahiran
dan menjana idea baru
Selain itu, hasil
kajian bukan sahaja akan memberi manfaat kepada guru itu sendiri tetapi juga
kepada warga guru secara keseluruhannya. Budaya dan iklim penyelidikan seperti ini jika
dilakukan secara berterusan akan membantu penjanaan idea-idea baharu. Tidak
menjadi mustahil sekiranya idea ini kelak akan membentuk kepada pembinaan teori
baharu yang mampu meningkatkan
perkembangan ilmu. Ini juga akan membuka ruang minda pelajar untuk berfikir
dengan lebih terbuka, kritikal dan analitikal.
·
Menjelaskan fenomena
Guru adalah pengurus
pembelajaran di dalam bilik darjah yang sentiasa berhadapan dengan fenomena semasa
mengajar. Kajian tindakan mampu menjelaskan fenomena yang berlaku dalam amalan pengajaran
dan pembelajaran, pengurusan bilik darjah dan pengurusan organisasi pendidikan.
Seringkali kita tidak memahami sebab-sebab sesuatu fenomena itu berlaku.
Melalui kajian tindakan pengkaji berpeluang menjalankan kajian dan seterusnya
menjelaskannya melalui dapatan kajian tersebut.
·
Penyelesaian masalah
Seperti yang dijelaskan,
kajian tindakan adalah berfokus kepada penyelesaian masalah. Ia sangat membantu
guru untuk mengenalpasti punca, sebab dan bagaimana masalah berkenaan boleh
berlaku. Kajian tindakan akan membantu
guru menyelesaikan masalah melalui punca-punca, sebab dan bagaimana sesuatu masalah
boleh terjadi. Pendekatan penyelesaian masalah seperti ini akan memberi kesan
yang lebih baik.
·
Guru sebagai pengamal reflektif
Guru adalah pengamal reflektif
terhadap amalan pengajaran dan pembelajaran, pengurusan bilik darjah dan
pengurusan organisasi pendidikan. Melalui kajian tindakan, dapatan kajian kelak
akan mampu mempertingkatkan kualiti pendidikan
bagi memenuhi hasrat negara dan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Sekiranya kajian tindakan menjadi amalan dan budaya kepada semua guru, banyak
masalah mampu diselesaikan khususnya dalam aspek amalan pengajaran dan
pembelajaran, pengurusan bilik darjah dan pengurusan organisasi pendidikan.
·
Menggunakan data-data dalam konteks pengajaran
Guru digalakkan menjadi individu yang mampu berfikir dan memahami
aspek-aspek pengajaran mereka dengan lebih realistik menggunakan data-data yang relevan. Ini adalah kerana data merupakan satu cara
pembuktian yang sukar untuk dipertikaikan. Kewujudan data dalam kajian tindakan
mampu membuktikan serta menyokong kuat terhadap penyelesaian masalah dalam
pengajaran mereka.
·
Koloboratif dalam kalangan guru
Aktiviti menjalankan kajian tindakan diharapkan menjadi sebagai salah satu
alat untuk mewujudkan koloboratif dalam kalangan guru. Melalui aktiviti ini, guru akan bertukar
pendapat, berkongsi maklumat dan pengalaman mereka tentang amalan mereka di
dalam kelas. Proses seperti ini diharapkan akan membentuk suasana kerja secara
berpasukan dan seterusnya meningkatkan kejelikitan dalam kalangan guru.
·
Budaya penyelidikan dalam kalangan guru
Amalan melaksanakan kajian tindakan
dalam kalangan guru akan menjadi titik tolak kepada pembentukan budaya
penyelidikan. Budaya penyelidikan dalam kalangan guru akan membentuk guru yang
lebih kreatif, kritis dan analitikal. Selain daripada itu, ia akan membantu
guru memperkembangkan kemahiran amalan khususnya
terhadap teknik-teknik dan kaedah baru dalam proses pengajaran dan pembelajaran
di dalam kelas. Guru juga diharap mampu menyelesaikan masalah dan isu-isu
tersebut dengan sendiri tanpa menunggu arahan-arahan daripada pihak-pihak yang
tertentu.
Budaya penyelidikan dalam kalangan
guru juga akan membuka ruang yang lebih luas kepada guru untuk memilih dan
melaksanakan amalan pengajarannya mengikut pilihannya sendiri. Justeru guru
mempunyai autoriti terhadap keputusan yang akan diambil dan akan meningkatkan
keyakinan diri seterusnya meningkatkan mutu kerja sesuai dengan keperluan
profesionalisme sebagai seorang insan bernama guru.
1.5 Bila Guru
Harus Membuat Kajian Tindakan
·
Ingin memperbaiki mutu amalan pengajaran
Guru yang sering membuat refleksi amalan pengajarannya di dalam kelas akan
sentiasa berfikir mencari kaedah dan teknik untuk meningkatkan kualiti
pengajaran. Sekiranya guru merasa terdapat aspek-aspek yang lemah untuk
diperbaiki, guru boleh melaksanakan kajian tindakan sebagai satu alat untuk
memudahkan guru menemui kaedah yang lebih baik.
·
Menemui masalah atau isu
Guru yang menemui masalah di dalam lingkungan kerjayanya sebagai seorang
guru, harus merancang dan melaksanakan kajian tindakan. Guru akan mendapat
manfaat bukan sahaja dari aspek dapatan kajiannya tetapi akan menemui jalan
penyelesaian terhadap masalah atau isu yang dihadapi.
1.6 Di mana guru menemui masalah dan isu
Guru boleh
melaksanakan kajian tindakan terhadap masalah-masalah dan isu yang dijumpai di
mana-mana sahaja tetapi yang ada kaitan dengan kerjayanya sebagai seorang guru.
Di antaranya di mana guru boleh memperolehi ialah seperti di dalam kelas,
persekitaran sekolah atau di mana-mana sahaja yang ada kaitan dengan kerja
sebagai seorang guru.
·
Di dalam kelas
Masalah dan
isu yang paling banyak dijumpai oleh seorang guru adalah di dalam kelas. Ia
boleh berlaku semasa guru tersebut mengajar atau memperolehi sumber maklumat
dari rakan guru yang mengajar di kelas tersebut.
·
Persekitaran sekolah
Melalui kaedah pemerhatian, guru boleh melihat tingkahlaku murid-muridnya
semasa berada di sekolah. Ia akan
membuka ruang kepada guru terhadap apa yang diperhatikan dan berkeinginan untuk
membuat penambahbaikan terhadap amalannya sebagai seorang guru.
·
Lingkungan kerja seorang guru
Isu dan
masalah yang ada kaitan dengan profesion perguruan juga boleh diambil sebagai
satu kajian tindakan. Ia boleh diperolehi melalui pembacaan di media masa,
perbualan, perbincangan, seminar dan apa sahaja maklumat yang ada kaitan dalam
lingkungan kerja seorang guru.
1.7 Mitos Tentang Kajian Tindakan
·
Mencari kesilapan dan Kesalahan Guru
Kajian tindakan dilakukan bukanlah untuk mencari kesilapan
dan kelemahan guru tentang kaedah dan teknik mengajar. Walaupun ia merupakan salah
satu daripada kitaran yang berlaku dalam proses membuat refleksi namun ia
bertujuan untuk mencari strategi yang lebih sesuai sebagai proses penambahbaikan.
·
Kajian Teoritikal
Kajian tindakan bukanlah satu kajian berbentuk teori
sebaliknya sebagai satu kajian tentang amalan. Oleh itu ia bukan kajian
terhadap topik, isu atau bidang yang diminati oleh pengkaji untuk dikaji.
Kajian tindakan adalah kajian tentang amalan seseorang untuk diperbaiki kelemahan-kelemahan yang telah
dikenalpasti.
·
Mempunyai Hipotesis
Pengkaji tidak menggunakan hipotesis dalam kajian tindakan.
Hipotesis digunakan untuk membuat ramalan dan jangkaan sedangkan pengkaji akan
mengkaji amalan-amalan proses PdP yang pengkaji itu sendiri lakukan. Justeru
pengkaji tidak menggunakan jangkaan sebagai hipotesis mereka.
·
Penjelasan Tentang Bagaimana dan Mengapa
Di dalam kajian tindakan, penjelasan tentang bagaimana dan
mengapa pengkaji melakukan sesuatu teknik atau kaedah hanya sebahagian daripada
penjelasan untuk tujuan pembuktian secara empirikal tetapi bukan tujuan utama
kajian tindakan dilakukan. Tujuan utama kajian tindakan adalah untuk
memperbaiki kelemahan ke arah yang lebih baik dan berkesan.
1.8 Perbezaan
Di antar Kajian Tindakan dengan Kajian Konvensional
Merujuk kepada prosedur dan
rekabentuk kajian, kajian tindakan adalah lebih mudah dan praktikal. Lebih ramai
guru akan membuat kajian tindakan sekiranya mereka memahami dengan lebih jelas
tentang proses tersebut. Berikut adalah merupakan aspek perbezaan di antara kajian
konvensioanal dengan kajian tindakan.
l Latihan yang diperlukan oleh pengkaji
Pengkaji yang ingin membuat kajian secara
konvensional perlu mempunyai pengetahuan yang boleh diperolehi melalui
latihan-latihan formal seperti kursus dan kelas-kelas yang tertentu. Lumrahnya
pengkaji memerlukan penyelia atau pembimbing pada peringkat awal sehinggalah
kemahiran yang diperlukan dikuasi oleh pengkaji. Berbeza dengan kajian tindakan
yang dimulakan dengan membuat refleksi terhadap amalan pengkaji itu sendiri. Pengkaji juga boleh berkongsi pengetahuan dan kemahiran bersama rakan sejawat.
v Matlamat Kajian
Di dalam kajian konvensional,
matlamat kajian dilakukan ialah dapatan kajian kelak akan digeneralisasikan. Ia
akan menjelaskan satu-satu fenomena secara umum melalui hasil kajian yang
diperolehi. Sementara kajian tindakan adalah satu penyelidikan untuk menjadi
satu bentuk amalan yang mampu menyelesaikan masalah yang spesifik bertujuan
peningkatkan mutu amalan yang berkaitan dengan profesion.
Mengenalpasti Masalah
Proses
awal dalam aspek mengenalpasti masalah di dalam kajian konvensional lumrahnya
ialah dengan merujuk kepada hasil dapatan kajian-kajian lepas. Di dalam kajian
tindakan, pengkaji akan menentukan arah kajian tindakannya melalui pengalaman
sebenar pengkaji terhadap masalah dan isu yang sedang dan pernah dihadapi.
Kajian literatur
Literatur kajian konvensional
banyak merujuk kepada hasil dapat kajian-kajian yang lepas yang berkaitan
dengan skop kajian pengkaji. Literatur tersebut sedikit sebanyak akan
mempengaruhi kajian pengkaji. Di dalam kajian tindakan, pengkaji merujuk kepada
refleksi amalan dalam proses pembelajaran. Sumber-sumber yang diperolehi ialah
daripada pengalamannya sendiri atau rakan-rakan guru yang lain.
Persampelan
Responden yang digunakan di
dalam kajian konvensional diambil melalui sampel-sampel yang mewakili kepada
populasi. Pengkaji tidak akan mampu menggunakan populasi yang sebenar sekiranya
jumlahnya adalah besar. Justeru kaedah
persampelan dalam kajian konvensional merupakan kaedah yang lebih relevan.
Sementara di dalam kajian tindakan pula, pengkaji akan menggunakan responden
kajian yang sebenar. Ini disebabkan keperluan responden di dalam kajian
tindakan tidak memerlukan sampel, pengkaji hanya menggunakan responden yang ada kaitan dengan
pengkaji.
Rekabentuk Kajian
Rekabentuk kajian konvensional
adalah rigid kepada bentuk dan format yang standard. Pengkaji harus merujuk dan
memilih rekabentuk sedia ada yang telah digunakan oleh pengkaji-pengkaji
terdahulu. Pemilihan rekabentuk yang salah akan menghasilkan kajian yang salah.
Jangkamasa yang diambil oleh pengkaji untuk membuat kajian juga memakan masa
yang agak lama dan panjang. Di dalam kajian tindakan, pengkaji boleh
merekabentuk kajian mereka sendiri. Ia agak fleksible dan mudah diubahsuai
bergantung dengan keperluan. Jangkamasa yang diambil juga lebih pendek dan
relevan dengan kesibukan pengkaji menjalankan tugas-tugas rutin.
v Prosedur Pengukuran
Di dalam aspek pengukuran dan penilaian, pengkaji
konvensional harus menggunakan alat ukur yang mempunyai keesahan yang tinggi.
Terdapat langkah dan prosedur untuk menentukan keesahan alat ukur yang
digunakan. Proses yang rumit kadang-kadang akan menurunkan motivasi pengkaji
untuk meneruskan kajiannya dan kadang-kadang kajian tidak dapat diteruskan. Di
dalam kajian tindakan, pengkaji sendiri yang akan menentukan alat ukur untuk
mengumpulkan data-data bagi menyokong kajiannya. Ia lebih mudah dan pengkaji
juga boleh menggunakan ujian-ujian piawai sedia ada bergantung kepada kesesuaian
keperluan kajiannya.
v Analisis Data
Bentuk dan
kaedah menganalisis data di dalam kajian konvensional adalah lebih rumit,
terperinci dan standard. Lumrahnya pengkaji perlu menggunakan statistik yang
rumit dan kompleks. Pengkaji perlu memahami secara jelas dan mendalam bagaimana
menganalisis data. Pengkaji boleh juga melaksanakan kajian kualitatif tetapi
cara dan kaedah menganalisis data juga memerlukan kemahiran yang baik. Di dalam
kajian tindakan, pengkaji tidak perlu menganalisis secara kuantitatif dan
menggunakan statistik yang kompleks. Pengkaji boleh mempersembahkan data mentah
sekiranya sesuai untuk menyokong hasil dapatan kajian mereka.
v Dapatan Kajian
Dapatan kajian
di dalam kajian konvensional menekankan kepada signifikanan teori yang digunakan.
Justeru pemilihan teori pada peringkat awal juga merupakan satu proses yang
penting. Di dalam kajian tindakan, teori tidaklah merupakan satu yang sangat
penting sebaliknya ia lebih memerlukan kepada bentuk-bentuk amalan. Penekanan
dapatan kajian kelak adalah lebih menekankan kepada signifikan kepada amalan
atau praktikal.