BLOG ACTION RESEARCH- KAJIAN TINDAKAN

INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS TAWAU

MELANGKAH KE TAHUN BAHARU 2015

Tahun silih berganti dan kini 2014 kian menghampiri riwayatnya. Semoga dengan kehadiran Tahun 2015 memberi kekuatan dan azam kepada kita semua untuk terus maju ke hadapan.

AMALAN BUDAYA 5S

5S merupakan satu amalan budaya berfokus untuk mewujudkan suasana persekitaran kerja yang berkualiti di sesebuah organisasi yang mampu memastikan standard yang ditetapkan serta menerapkan semangat untuk penambahbaikan berterusan. 5S adalah Sisih, Susun, Sapu, Sentiasa Amal Dan Seragam.

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN 2013 - 2025

Rujukan dan dokumentasi berkaitan PPPM 2013 - 2025 boleh dirujuk dan dimuat turun melalui pautan : http://www.moe.gov.my/v/pelan-pembangunan-pendidikan-malaysia-2013-2025

TEMA HARI KEMERDEKAAN KE-57

MALAYSIA DISINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA.

Halaman

Rabu, 29 Oktober 2014

TOPIK 1 : PENGENALAN






PENGENALAN


1.1  Pendahuluan

Kerjaya sebagai seorang guru kini semakin mencabar. Perkembangan dunia yang semakin mencabar juga telah memberi implikasi terhadap peranan seorang guru. Pelbagai cabaran dan halangan yang dilalui oleh guru akan menambah pengalaman dan mematangkan mereka.  Pengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas menuntut seorang guru yang bukan sahaja berilmu pengetahuan tetapi juga pengalaman. Pelbagai masalah yang dihadapi dan penemuan kepada penyelesaiannya telah membantu kepada keberkesanan proses  pengajaran dan pembelajaran. Proses penyelesaian masalah merupakan satu penemuan yang akan menambah lagi pengalaman seseorang guru.  Tindakan kepada penyelesaian masalah bagi seorang guru boleh digunakan oleh guru tersebut apabila menghadapi masalah yang sama dalam situasi yang berbeza. 

Walaubagaimana pun kadang-kadang kaedah yang sama tidak dapat membantu masalah yang sama kerana murid yang berbeza.  Justeru guru perlu mencuba teknik dan cara penyelesaian masalah yang berbeza.  Setiap tindakan yang dilakukan oleh guru terhadap usaha-usaha menyelesaikan masalah ketika proses pengajaran dan pembelajaran adalah konsep yang ingin dibincangkan di dalam kajian tindakan.

                1.2  Matlamat

Guru-guru yang menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas sering berhadapan dengan pelbagai situasi yang diwujudkan oleh murid mereka. Guru yang baik mampu menangani setiap masalah dengan berkesan.  Ilmu pendidikan menjadi panduan kepada guru untuk menyusun langkah menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.  Namun kebanyakan guru tidak mendokumentasikan langkah dan strategi penyelesaian masalah dalam bentuk laporan ilmiah. Langkah penyelesaian kepada setiap masalah boleh didokumenkan dalam bentuk kajian tindakan.

Guru boleh menjalankan kajian tindakan bertujuan untuk meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran, pengurusan bilik darjah dan pengurusan organisasi pendidikan. Kajian tindakan yang dilakukan oleh guru adalah berasaskan kepada kelemahan murid yang ditemui semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.  Guru perlu mencari kaedah dan melaksanakannya untuk menyelesaikan masalah tersebut. Kaedah tersebut dilaksanakan bergantung kepada keserasian dan kesesuaian masalah tersebut. Justeru sangatlah jelas bahawa kajian tindakan bermatlamat untuk menyelesaikan masalah mengggunakan kaedah dan strategi terhadap masalah yang dihadapi oleh seseorang guru. Secara tidak langsung, amalan kajian tindakan mampu meningkatkan kualiti pengajaran dan prestasi murid.

Tujuan utama kajian tindakan ialah untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu amalan pengajaran dan pembelajaran. Seperti penjelasan yang telah dihuraikan, kajian tindakan yang dilakukan oleh guru mampu mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh murid mereka. Guru akan menggunakan kaedah dan teknik yang difikirkan sesuai sehinggalah dapat menyelesaikan masalah berkenaan. Selagi mana masalah tidak selesai, guru akan mencuba menggunakan kaedah dan teknik yang lain berulangkali. Justeru guru akan membuat refleksi semula dan memikirkan  kaedah-kaedah alternatif sehingga mampu menyelesaikan masalah.

Refleksi yang dilakukan oleh guru khususnya tentang kaedah dan teknik mengajar ini mampu memperlihatkan kelemahan-kelemahan yang pernah dilakukan oleh guru itu sendiri. Kelemahan guru juga berkemungkinan menjadi punca kepada kelemahan murid. Sekiranya ini berlaku tanpa ada tindakan, ia hanya akan menjadikan masalah yang semakin rumit. Guru yang menganggap dirinya sempurna tidak akan membuat refleksi atau mengakui kelemahan diri. Guru ini juga tidak bersedia untuk menerima kritikan dan komen-komen walaupun semuanya adalah bertujuan untuk penambahbaikkan.

Proses refleksi bukan sahaja berlaku apabila guru melihat dan menilai dirinya sendiri tetap juga tentang pandangan rakan-rakan guru terhadap dirinya. Proses refleksi juga akan menimbulkan kesan terhadap penambahbaikan kaedah dan teknik yang digunakan oleh guru. Oleh itu, kajian tindakan adalah merupakan satu penyelidikan yang penting bagi seorang guru bertujuan mengkaji kelemahan diri seterusnya mencari langkah penyelesaian kepada permasalahan tersebut. Proses penambahbaikan terhadap pengajaran guru akan berlaku secara berterusan. Secara tidak langsung, prestasi dan mutu pengajaran guru akan meningkat.

Guru juga akan menemui kelemahan dan masalah di dalam kelasnya sendiri. Justeru guru lebih memahami masalah yang dihadapinya. Guru juga akan mengambil langkah menyelesaikan masalah tersebut. Segala langkah yang diambil oleh guru tersebut dan mampu menyelesaikan boleh dijadikan sebagai kajian tindakan. Oleh kerana itu, guru tidak perlu membuat kajian di luar lingkungan kelasnya.


Sebagai rumusan, kajian tindakan adalah bermatlamat sebagai satu pendekatan untuk memberi pemahaman dan pengetahuan tentang amalan yang pernah dilakukan oleh guru untuk menambahbaik amalan pengajaran yang dilakukan oleh mereka sebelum ini. Ini adalah kerana kajian tindakan akan memberi pengetahuan tentang kaedah penyelesaian masalah yang dihadapi oleh guru di dalam bilik darjah atau persekitaran pembelajaran di sekolah.

Kajian tindakan juga akan membantu proses pengajaran dan pembelajaran menjadi bertambah baik. Kaedah pengajaran ini termasuklah bentuk latihan, teknik menyampaikan pelajaran atau jenis-jenis soalan yang digunakan oleh guru. Justeru itu, guru berpeluang untuk mengubahsuai kaedah pengajarannya melalui dapatan dalam kajian tindakan yang mereka laksanakan.

Kajian tindakan juga di jangka mampu membantu guru membentuk teori baru dalam pengajaran. Guru berpeluang mengunakan kaedahnya sendiri melalui amalan pengajarannya sendiri semasa mengajar. Selain daripada itu, guru berpeluang membuat kajiannya sendiri. Guru akan menjadi lebih kreatif untuk menyelesaikan masalahnya sendiri tanpa tertakluk kepada teori-teori orang lain. Secara tidak langsung kemahiran guru akan berkembang dan mampu meningkatkan profesion guru.

1.3  Pendekatan

Kaedah yang digunakan di dalam kajian tindakan tidak sama dengan kaedah kajian konvensional. Di dalam kajian tindakan, pengkaji lebih tertumpu kepada dapatan tentang penyelesaian masalah yang ditemui semasa proses pengajaran.  Pengumpulan data untuk menyokong kepada dapatan pengkaji tidaklah sebegitu rumit. Jika dibandingkan dengan kajia konvensional, ianya lebih kompleks dan rumit. Ini disebabkan sampel kajiannya yang tidak memerlukan bilangan yang besar dan responden kajian berada di dalam kelas guru.

Penyataan masalah ditentukan kepada masalah yang dihadapi oleh pengkaji semasa proses pengajaran berlaku. Oleh itu, pengkaji hanya perlu membuat refleksi tentang pengajaran yang lepas melibatkan dirinya sendiri. Justeru di dalam kajian tindakan, pengkaji tidak perlu membuat hipotesis atau jangkaan kepada terhadap penyelesaian masalah. Pengalaman guru tersebut boleh digunakan sebagai penyataan masalah.

Data juga boleh dianalisis menggunakan cara yang mudah dan ringkas. Ia tidaklah serumit seperti keperluan di dalam kajian konvensional. Analisis boleh dilakukan dalam bentuk seperti laporan, penjelasan dan huraian tentang pemerhatian atau bentuk pemerarusan yang mudah. Di dalam kajian tindakan, data perlu dianalisis terhadap perubahan tingkahlaku yang telah berlaku. Perubahan ini dibuktikan melalui data-data yang dikutip melalui pemerhatian atau merujuk kepada rekod-rekod bahawa telah berlaku perubahan seperti markah-markah, rekod disiplin, kemahiran-kemahiran dan sebagainya.

Di dalam kajian tindakan, pengkaji boleh menggunakan murid  itu sebagai responden kajian. Pengkaji tidak perlu menggunakan sampel sebagai mewakili populasi. Justeru bilangan responden dalam kajian tindkan adalah kecil. Pengkaji boleh menggunakan seorang pelajar sebagai responden kajian. Oleh kerana biasanya kajian tindakan melibatkan sikap, tingkah laku atau tabiat yang sukar diukur dengan nombor analisis secara kualitatif adalah sangat sesuai.

1.4  Mengapa Guru Harus Membuat Kajian Tindakan

Secara ringkas, terdapat banyak faktor mengapa guru harus menjalankan kajian tindakan. Antaranya ialah:

·          Guru sebagai rujukan

 Guru adalah diiktiraf sebagai seseorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi. Oleh kerana itu, guru harus mempunyai pengetahuan dan kemahiran khususnya tentang kandungan subjek dan kaedah-kaedah belajar dan mengajar. Guru juga harus memahami dengan jelas aspek kenapa dan mengapa murid bertingkahlaku tidak seperti yang sepatutnya ketika proses pembelajaran dilakukan di dalam kelas. Guru bukan sahaja membentuk murid dari aspek akademik tetapi juga untuk membentuk personaliti dan keperluan menghadapi kehidupan. Ini bermaksud  guru masih dianggap sebagai rujukan utama. Justeru, guru menjadi sumber rujukan utama di sekolah dan juga di luar sekolah. 
                               
·       Mengenalpasti kekuatan dan kelemahan

 Melalui kajian tindakan, guru akan melakukan proses membuat refleksi terlebih dahulu. Guru dijangka mampu mengenalpasti kekuatan dan kelemahan sesuatu kaedah atau teknik pengajaran yang telah digunakan selama ini di dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Guru boleh mengenalpasti sama ada kaedah yang digunakan menarik atau tidak ialah dengan melihat kepada keberkesanan pengajarannya seperti melihat rekod-rekod  keputusan ujian yang telah dijalankan atau melihat bagaimana murid memberi respons terhadap pengajarannya.

·          Memperbaiki Kaedah Pengajaran

 Di dalam proses menjalankan kajian tindakan terdapat model yang menjelaskan tentang kitaran dan gelung. Kitaran merupakan pemeringkatan dalam proses kajian tindakan. Kitaran adalah langkah-langkah yang perlu diikuti oleh pengkaji ketika menjalankan kajian. Sekiranya pengkaji tidak berjaya atau ingin menambahbaik lagi aspek-aspek yang tertentu pada gelung pertama,  pengkaji akan bergerak seterusnya kepada gelung yang lain. Ini bererti proses penambahbaikan akan sentiasa berlaku. Guru yang membuat kajian tindakan akan sentiasa memperbaiki kaedah mengajar sehinggalah masalah yang dihadapi dapat diselesaikan. Oleh kerana ini, proses penambahbaikan akan sentiasa berlaku dari semasa ke semasa.

·          Kreatif dan Kritis

Proses di dalam kajian tindakan juga akan menjadikan guru sentiasa mencari dan mencuba pelbagai kaedah ke arah penyelesaian masalah. Oleh itu kajian tindakan menuntut agar guru menjadi lebih kreatif dan inovatif. Melalui kreativiti yang tinggi sahaja, guru akan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kerjayanya sebagai seorang guru.

·        Role-Model

Guru yang kreatif, berpengetahuan dan berkemahiran mampu dijadikan role-model kepada pelajar-pelajarnya. Melalui kajian tindakan, guru akan sentiasa berkembang dan melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran. Guru seperti ini  dijangka menjadi ikutan atau role-model kepada muridnya.

·          Perkembangan teknologi

 Guru harus menjalankan kajian tindakan sebagai satu tuntutan keperluan penguasaan teknologi yang terkini yang semakin berkembang. Melalui kajian tindakan, guru akan meningkatkan kemahiran teknologi mendahului kemahiran murid-muridnya.

·          Memberi inspirasi

        Kajian tindakan juga mampu digunakan oleh seorang guru untuk membuat explorasi tentang minat dan kemahiran pelajar-pelajar. Aspek ini akan membantu pelajar mengenalpasti minat kerjaya dan membentuk strategi melengkapkan diri ke arah mencapai kerjaya.

·          Membina kemahiran dan menjana idea baru

Selain itu, hasil kajian bukan sahaja akan memberi manfaat kepada guru itu sendiri tetapi juga kepada warga guru secara keseluruhannya.  Budaya dan iklim penyelidikan seperti ini jika dilakukan secara berterusan akan membantu penjanaan idea-idea baharu. Tidak menjadi mustahil sekiranya idea ini kelak akan membentuk kepada pembinaan teori baharu yang mampu meningkatkan perkembangan ilmu. Ini juga akan membuka ruang minda pelajar untuk berfikir dengan lebih terbuka, kritikal dan analitikal.

·          Menjelaskan fenomena

Guru adalah pengurus pembelajaran di dalam bilik darjah yang sentiasa berhadapan dengan fenomena semasa mengajar. Kajian tindakan mampu menjelaskan fenomena yang berlaku dalam amalan pengajaran dan pembelajaran, pengurusan bilik darjah dan pengurusan organisasi pendidikan. Seringkali kita tidak memahami sebab-sebab sesuatu fenomena itu berlaku. Melalui kajian tindakan pengkaji berpeluang menjalankan kajian dan seterusnya menjelaskannya melalui dapatan kajian tersebut.  

·          Penyelesaian masalah

Seperti yang dijelaskan, kajian tindakan adalah berfokus kepada penyelesaian masalah. Ia sangat membantu guru untuk mengenalpasti punca, sebab dan bagaimana masalah berkenaan boleh berlaku.  Kajian tindakan akan membantu guru menyelesaikan masalah melalui punca-punca, sebab dan bagaimana sesuatu masalah boleh terjadi. Pendekatan penyelesaian masalah seperti ini akan memberi kesan yang lebih baik.

·          Guru sebagai pengamal reflektif

Guru adalah pengamal reflektif terhadap amalan pengajaran dan pembelajaran, pengurusan bilik darjah dan pengurusan organisasi pendidikan. Melalui kajian tindakan, dapatan kajian kelak akan mampu mempertingkatkan kualiti pendidikan  bagi memenuhi hasrat negara dan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sekiranya kajian tindakan menjadi amalan dan budaya kepada semua guru, banyak masalah mampu diselesaikan khususnya dalam aspek amalan pengajaran dan pembelajaran, pengurusan bilik darjah dan pengurusan organisasi pendidikan.

·          Menggunakan data-data dalam konteks pengajaran

Guru digalakkan menjadi individu yang mampu berfikir dan memahami aspek-aspek pengajaran mereka dengan lebih realistik  menggunakan data-data yang relevan.  Ini adalah kerana data merupakan satu cara pembuktian yang sukar untuk dipertikaikan. Kewujudan data dalam kajian tindakan mampu membuktikan serta menyokong kuat terhadap penyelesaian masalah dalam pengajaran mereka.
  
·          Koloboratif dalam kalangan guru

Aktiviti menjalankan kajian tindakan diharapkan menjadi sebagai salah satu alat untuk mewujudkan koloboratif dalam kalangan guru.  Melalui aktiviti ini, guru akan bertukar pendapat, berkongsi maklumat dan pengalaman mereka tentang amalan mereka di dalam kelas. Proses seperti ini diharapkan akan membentuk suasana kerja secara berpasukan dan seterusnya meningkatkan kejelikitan dalam kalangan guru.

·          Budaya penyelidikan dalam kalangan guru

Amalan melaksanakan kajian tindakan dalam kalangan guru akan menjadi titik tolak kepada pembentukan budaya penyelidikan. Budaya penyelidikan dalam kalangan guru akan membentuk guru yang lebih kreatif, kritis dan analitikal. Selain daripada itu, ia akan membantu guru memperkembangkan kemahiran amalan  khususnya terhadap teknik-teknik dan kaedah baru dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Guru juga diharap mampu menyelesaikan masalah dan isu-isu tersebut dengan sendiri tanpa menunggu arahan-arahan daripada pihak-pihak yang tertentu.

Budaya penyelidikan dalam kalangan guru juga akan membuka ruang yang lebih luas kepada guru untuk memilih dan melaksanakan amalan pengajarannya mengikut pilihannya sendiri. Justeru guru mempunyai autoriti terhadap keputusan yang akan diambil dan akan meningkatkan keyakinan diri seterusnya meningkatkan mutu kerja sesuai dengan keperluan profesionalisme sebagai seorang insan bernama guru.

1.5 Bila Guru Harus Membuat Kajian Tindakan

·          Ingin memperbaiki mutu amalan pengajaran

Guru yang sering membuat refleksi amalan pengajarannya di dalam kelas akan sentiasa berfikir mencari kaedah dan teknik untuk meningkatkan kualiti pengajaran. Sekiranya guru merasa terdapat aspek-aspek yang lemah untuk diperbaiki, guru boleh melaksanakan kajian tindakan sebagai satu alat untuk memudahkan guru menemui kaedah yang lebih baik.
  
·          Menemui masalah atau isu

Guru yang menemui masalah di dalam lingkungan kerjayanya sebagai seorang guru, harus merancang dan melaksanakan kajian tindakan. Guru akan mendapat manfaat bukan sahaja dari aspek dapatan kajiannya tetapi akan menemui jalan penyelesaian terhadap masalah atau isu yang dihadapi.
1.6           Di mana guru menemui masalah dan isu

Guru boleh melaksanakan kajian tindakan terhadap masalah-masalah dan isu yang dijumpai di mana-mana sahaja tetapi yang ada kaitan dengan kerjayanya sebagai seorang guru. Di antaranya di mana guru boleh memperolehi ialah seperti di dalam kelas, persekitaran sekolah atau di mana-mana sahaja yang ada kaitan dengan kerja sebagai seorang guru.

·          Di dalam kelas

Masalah dan isu yang paling banyak dijumpai oleh seorang guru adalah di dalam kelas. Ia boleh berlaku semasa guru tersebut mengajar atau memperolehi sumber maklumat dari rakan guru yang mengajar di kelas tersebut.

·          Persekitaran sekolah

Melalui kaedah pemerhatian, guru boleh melihat tingkahlaku murid-muridnya semasa berada di sekolah.  Ia akan membuka ruang kepada guru terhadap apa yang diperhatikan dan berkeinginan untuk membuat penambahbaikan terhadap amalannya sebagai seorang guru.

·          Lingkungan kerja seorang guru

Isu dan masalah yang ada kaitan dengan profesion perguruan juga boleh diambil sebagai satu kajian tindakan. Ia boleh diperolehi melalui pembacaan di media masa, perbualan, perbincangan, seminar dan apa sahaja maklumat yang ada kaitan dalam lingkungan kerja seorang guru.

1.7  Mitos Tentang Kajian Tindakan

·          Mencari kesilapan dan Kesalahan Guru

Kajian tindakan dilakukan bukanlah untuk mencari kesilapan dan kelemahan guru tentang kaedah dan teknik mengajar. Walaupun ia merupakan salah satu daripada kitaran yang berlaku dalam proses membuat refleksi namun ia bertujuan untuk mencari strategi yang lebih sesuai sebagai proses penambahbaikan.

·          Kajian Teoritikal

Kajian tindakan bukanlah satu kajian berbentuk teori sebaliknya sebagai satu kajian tentang amalan. Oleh itu ia bukan kajian terhadap topik, isu atau bidang yang diminati oleh pengkaji untuk dikaji. Kajian tindakan adalah kajian tentang amalan seseorang untuk diperbaiki  kelemahan-kelemahan yang telah dikenalpasti. 

·          Mempunyai Hipotesis

Pengkaji tidak menggunakan hipotesis dalam kajian tindakan. Hipotesis digunakan untuk membuat ramalan dan jangkaan sedangkan pengkaji akan mengkaji amalan-amalan proses PdP yang pengkaji itu sendiri lakukan. Justeru pengkaji tidak menggunakan jangkaan sebagai hipotesis mereka.

·          Penjelasan Tentang Bagaimana dan Mengapa

Di dalam kajian tindakan, penjelasan tentang bagaimana dan mengapa pengkaji melakukan sesuatu teknik atau kaedah hanya sebahagian daripada penjelasan untuk tujuan pembuktian secara empirikal tetapi bukan tujuan utama kajian tindakan dilakukan. Tujuan utama kajian tindakan adalah untuk memperbaiki kelemahan ke arah yang lebih baik dan berkesan. 

1.8           Perbezaan Di antar Kajian Tindakan dengan Kajian Konvensional

Merujuk kepada prosedur dan rekabentuk kajian, kajian tindakan adalah lebih mudah dan praktikal. Lebih ramai guru akan membuat kajian tindakan sekiranya mereka memahami dengan lebih jelas tentang proses tersebut. Berikut adalah  merupakan aspek perbezaan di antara kajian konvensioanal dengan kajian tindakan.

l       Latihan yang diperlukan oleh pengkaji

              Pengkaji yang ingin membuat kajian secara konvensional perlu mempunyai pengetahuan yang boleh diperolehi               melalui latihan-latihan formal seperti kursus dan kelas-kelas yang tertentu. Lumrahnya pengkaji memerlukan                          penyelia atau pembimbing pada peringkat awal sehinggalah kemahiran yang diperlukan dikuasi oleh pengkaji.               Berbeza dengan kajian tindakan yang dimulakan dengan membuat refleksi terhadap amalan pengkaji itu sendiri.                 Pengkaji juga boleh berkongsi pengetahuan dan kemahiran bersama rakan sejawat.

v      Matlamat Kajian

Di dalam kajian konvensional, matlamat kajian dilakukan ialah dapatan kajian kelak akan digeneralisasikan. Ia akan menjelaskan satu-satu fenomena secara umum melalui hasil kajian yang diperolehi. Sementara kajian tindakan adalah satu penyelidikan untuk menjadi satu bentuk amalan yang mampu menyelesaikan masalah yang spesifik bertujuan peningkatkan mutu amalan yang berkaitan dengan profesion.

  Mengenalpasti Masalah

Proses awal dalam aspek mengenalpasti masalah di dalam kajian konvensional lumrahnya ialah dengan merujuk kepada hasil dapatan kajian-kajian lepas. Di dalam kajian tindakan, pengkaji akan menentukan arah kajian tindakannya melalui pengalaman sebenar pengkaji terhadap masalah dan isu yang sedang dan pernah dihadapi.

   Kajian literatur                    

Literatur kajian konvensional banyak merujuk kepada hasil dapat kajian-kajian yang lepas yang berkaitan dengan skop kajian pengkaji. Literatur tersebut sedikit sebanyak akan mempengaruhi kajian pengkaji. Di dalam kajian tindakan, pengkaji merujuk kepada refleksi amalan dalam proses pembelajaran. Sumber-sumber yang diperolehi ialah daripada pengalamannya sendiri atau rakan-rakan guru yang lain.

  Persampelan


Responden yang digunakan di dalam kajian konvensional diambil melalui sampel-sampel yang mewakili kepada populasi. Pengkaji tidak akan mampu menggunakan populasi yang sebenar sekiranya jumlahnya adalah besar.  Justeru kaedah persampelan dalam kajian konvensional merupakan kaedah yang lebih relevan. Sementara di dalam kajian tindakan pula, pengkaji akan menggunakan responden kajian yang sebenar. Ini disebabkan keperluan responden di dalam kajian tindakan tidak memerlukan sampel, pengkaji hanya  menggunakan responden yang ada kaitan dengan pengkaji.

 Rekabentuk Kajian

Rekabentuk kajian konvensional adalah rigid kepada bentuk dan format yang standard. Pengkaji harus merujuk dan memilih rekabentuk sedia ada yang telah digunakan oleh pengkaji-pengkaji terdahulu. Pemilihan rekabentuk yang salah akan menghasilkan kajian yang salah. Jangkamasa yang diambil oleh pengkaji untuk membuat kajian juga memakan masa yang agak lama dan panjang. Di dalam kajian tindakan, pengkaji boleh merekabentuk kajian mereka sendiri. Ia agak fleksible dan mudah diubahsuai bergantung dengan keperluan. Jangkamasa yang diambil juga lebih pendek dan relevan dengan kesibukan pengkaji menjalankan tugas-tugas rutin.

v  Prosedur Pengukuran

Di dalam aspek pengukuran dan penilaian, pengkaji konvensional harus menggunakan alat ukur yang mempunyai keesahan yang tinggi. Terdapat langkah dan prosedur untuk menentukan keesahan alat ukur yang digunakan. Proses yang rumit kadang-kadang akan menurunkan motivasi pengkaji untuk meneruskan kajiannya dan kadang-kadang kajian tidak dapat diteruskan. Di dalam kajian tindakan, pengkaji sendiri yang akan menentukan alat ukur untuk mengumpulkan data-data bagi menyokong kajiannya. Ia lebih mudah dan pengkaji juga boleh menggunakan ujian-ujian piawai sedia ada bergantung kepada kesesuaian keperluan kajiannya.

v  Analisis Data        
               
Bentuk dan kaedah menganalisis data di dalam kajian konvensional adalah lebih rumit, terperinci dan standard. Lumrahnya pengkaji perlu menggunakan statistik yang rumit dan kompleks. Pengkaji perlu memahami secara jelas dan mendalam bagaimana menganalisis data. Pengkaji boleh juga melaksanakan kajian kualitatif tetapi cara dan kaedah menganalisis data juga memerlukan kemahiran yang baik. Di dalam kajian tindakan, pengkaji tidak perlu menganalisis secara kuantitatif dan menggunakan statistik yang kompleks. Pengkaji boleh mempersembahkan data mentah sekiranya sesuai untuk menyokong hasil dapatan kajian mereka.  

v  Dapatan Kajian  

Dapatan kajian di dalam kajian konvensional menekankan kepada signifikanan teori yang digunakan. Justeru pemilihan teori pada peringkat awal juga merupakan satu proses yang penting. Di dalam kajian tindakan, teori tidaklah merupakan satu yang sangat penting sebaliknya ia lebih memerlukan kepada bentuk-bentuk amalan. Penekanan dapatan kajian kelak adalah lebih menekankan kepada signifikan kepada amalan atau praktikal.